بسم الله الرحمن الرحيم
Di Malaysia, isu sumpah Sahzryl Eskay Abdullah membuatkan rakyat yang telah sedia meluat dengan politik Malaysia berasa jelik dan mengambil langkah cuci tangan (berkecuali). Ketika merayau-rayau di laman sosial nombor satu (apa lagi, Facebook la) bertemu dengan komen seorang yang insan yang menyatakan dia bahawa sudah bosan dengan politik Malaysia dan lebih berminat kepada perkahwinan diraja Prince William of Wales dengan Kate Middleton. "Sekurang-kurangnya orang Barat sibuk tentang
royal wedding tapi tak melebih-lebih", lebih kurang begitu katanya. Saya mahu gelak dan menangis pada masa yang sama.
Saya enggan berbincang tentang sumpah-menyumpah kerana ratusan ribu blog lain telah pun puas meratah dan melapah isu ini. Bagi saya isu ini sudah jadi satu masalah yang terang nyata maka saya tidak harus membazir masa untuk tumpang menyuluhnya. Yang saya mahu bicarakan adalah masalah yang ramai orang telah terima dan anggap sebagai norma kehidupan, maka tidak dilihat sebagai sebuah masalah lagi. Masalah mentaliti orang kita, Melayu Islam di Malaysia. (Ha, dah tau dah! Kau nak cerita fasal minda kita masih dijajah Barat kan? Ish, ni kan isu masa sambutan kemerdekaan? Kau awal tiga bulan ni.) Eh, nanti! Nanti! Tidak, saya bukan mahu bercerita tentang kolonialisme minda oleh Barat, tapi tentang mentaliti kita yang sentiasa merasakan bahawa orang lain lebih baik daripada kita, lebih beruntung, lebih ada serba-serbi. Rumput di sebelah sana pagar sentiasa lebih hijau daripada di sebelah kita. Tak faham?
The grass is always greener at the other side of the fence. (Baru faham? Memang dasar jawab Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris korang ni.)
Entah apa masalah kita, yang busuk dan buruk itu sentiasa negara kita, yang wangi dan cantik itu sentiasa negara orang. Negara-negara Barat dan Jepun adalah model ikutan kita lalu kita tertanya-tanya, "Afsal kita tak boleh jadi maju macam mereka?" Ambil contoh politik. Berkali-kali kita mendengar kekaguman betapa Amerika Syarikat dan Jepun walaupun kerap bertukar pemimpin tetap juga dapat memastikan proses pembangunan mereka tidak terganggu. Dan sewaktu mula-mula tiba di Australia, saya selalu mendengar senior membandingkan politik di benua kanggaru ini dengan politik di Malaysia lalu disenaraikan kelebihan mereka. Mari sini saya khabarkan kepada kamu bahawa idealisme kamu itu hanya mimpi semata-mata, sekadar igau di siang hari. Politik era kini, wahai saudaraku, sama tidak kira di mana sahaja. Ketahuilah rakyat di negara mana pun kalau kamu tanya, tentu akan menyatakan bahawa mereka tidak berpuas-hati dengan politik negara mereka, ada pembaharuan yang boleh dilakukan dengan menjadikan negara sekian sekian sebagai contoh. Australia tidak terkecuali. Rakyat mereka mempersoalkan cukai karbon yang mahu dikenakan oleh Julia Gillard, akta yang membolehkan suspek pengganas ditangkap, dikurung dan disoal-siasat walaupun tanpa bukti, dan fungsi NGO yang diperkecilkan, serta pelbagai hal lain. Tapi ramai antara kita tidak tahu atau peduli tentang ini. Berapa ramai yang enggan pulang ke tanah air kerana merasakan negara tumpangan mereka lebih hebat?
Orang Barat, atau lebih spesifik lagi mat saleh dari Britain, sewaktu era perluasan kuasa dahulu merasakan mereka lebih hebat daripada orang yang tidak berkulit putih seperti mereka. Mereka merasakan mereka bijak dan bertamadun berbanding orang-orang berkulit sawo matang atau hitam, yang ramainya pada masa itu masih tidak berpakaian seelok mereka (mereka dah ada Harrods masa tu, orang Red Indian mana ada). Mereka beranggapan bahawa sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyebarkan tamadun kepada orang-orang pagan tidak beragama itu, yang mana kita kenali sebagai Beban Orang Putih,
the White Men's Burden. Orang yang kulitnya bukan putih semuanya dilihat sebagai beban dan tanggungjawab mereka. Ya, datuk nenek moyang kita dahulu itulah, semuanya adalah beban. Sehinggakan, pada masa ahli-ahli falsafah seperti J.S. Mill menegakkan konsep
laissez faire dan kebebasan individu, rakyat koloni-koloni dikecualikan kerana dianggap tidak boleh berfikir sendiri. Sebegitu rendah sekali kita diletakkan, seakan bukan manusia!
Betapa ramai yang telah melupakan sejarah itu. Tanpa sedar kita terus mendokong 'kehebatan' orang-orang Barat itu. Seperti kata insan yang saya sebutkan mula-mula tadi, "Tak apa, sekurang-kurangnya..." Kita mencari cara menghalalkan setiap tindakan mereka kerana merasakan apa yang mereka lakukan baik belaka, menganggap mereka lebih hebat daripada kita. Sedarkah, pada masa kita mencerca tindakan Amerika Syarikat dan Britain menyembelih rakyat Iraq dan Afghanistan atas nama demokrasi liberal, kita juga menerima sambutan Valentine seolah-olah sebahagian budaya kita? Apakah tidak sama mereka yang menumpahkan darah anak-anak kecil di bumi Palestin dengan kita yang mencampak bayi-bayi masih bertali pusat hasil 'cinta suci' Hari Kekasih ke dalam longkang dan tong sampah masjid? Sayang seribu kali sayang, tidak ramai daripada kita nampak hubung kaitnya. Kedua-duanya seakan kisah asing lagi terpisah, tiada pengajaran boleh diambil, seperti sejarah semalam yang sekadar baris-baris ayat di dalam buku teks, ditelaah demi sebuah A menghias slip SPM kita.
Saya tahu dan saya akui Malaysia bukan negara terbaik, jauh sekali sempurna. Apabila pergi ke negara orang, tidak dapat tidak, kita akan membuat perbandingan. Tapi saya minta, jika perbandingan itu kamu buat dengan rasa jijik dan jelik, maka tukarlah pandangan kamu itu. Jadikan penelitian kamu itu sebagai permulaan untuk memperbaiki tanah air kamu. Jangan kamu hina bumi kelahiran kamu ini. Seperti mana kamu tidak dapat memilih untuk lahir daripada perkongsian kasih ibu dan bapa yang mana, begitu juga kamu tidak dapat memilih untuk lahir di negara mana, sebagai bangsa apa. "Jika kamu mengatakan bahawa seluruh umat manusia ini telah rosak, maka kamulah yang telah rosak sebenarnya," itu sabda Nabi s.a.w. Ya, Malaysia memang banyak cacat celanya, tapi mengkritik sahaja tidak cukup. Hanya orang yang rasa dirinya lebih baik daripada orang lain akan terus mengkritik tanpa mahu memperbaiki. Dan berputus asa juga bukan pilihan, kerana orang Islam tidak pernah putus asa.
Bersyukurlah. Apakah itu terlalu sukar?